Tip Didik Anak Dara Ke Dapur
Bukan senang hendak mendidik anak perempuan. Sebagai ibu, pernahkah anak dara anda membantu anda di dapur? Jika mereka liat membantu, entri ini mungkin boleh membantu anda!
Jangan salahkan pendidikan tinggi mahupun kemudahan yang sedia ada jika anak dara anda malas membantu anda di dapur. Hakikatnya, semua bermula dengan didikan sempurna sejak mereka kecil lagi. Tapi bagaimana caranya mahu mendidik anak kecil ringan tulang, pandai memasak dan rajin ke dapur?
Sebagai ibu, usah menganggap 'kedatangan' anak-anak ke dapur sebagai gangguan. Ada sesetengah ibu melarang anak-anak berada di dapur dengan alasan dapur akan menjadi kotor dan melambatkan tugas anda.
Hakikatnya, jika anak-anak dibiasakan berada di dapur sambil melihat anda memasak, sedikit sebanyak ilmu memasak akan diturunkan kepada mereka. Biar anak melihat dan membantu anda di dapur.
Bermula dengan menyuruh anak-anak membantu membasuh pinggan kemudian mengajar anak-anak perkara asas seperti mengupas bawang, memotong sayur, membuang kepala ikan bilis, memukul telur dan mengenali bahan-bahan perasa sudah cukup memadai.
Jika anda yakin, anda boleh meminta anak-anak membantu anda memasak dengan mengikut arahan anda. Sebagai contoh, meminta anak memasukkan minyak, menumis bawang atau memasukkan bahan perasa seperti kicap dan sebagainya untuk menyiapkan satu hidangan mudah.
Lama-kelamaan, minat memasak dan membantu di dapur akan menjadi rutin harian tanpa perlu diajar. Tidak ada salahnya jika anda mahu berkongsi resipi. Ajaklah anak-anak membeli buku resipi atau melayari Internet.
Diharap tip mudah ini boleh membantu anda mendidik anak-anak dara rajin ke dapur dan tidak mengharapkan orang gaji atau makanan luar semasa ketiadaan anda. Teramat rugi jika anak dara anda tidak pandai memasak dan tidak biasa ke dapur kerana setinggi mana pun pendidikan yang ada, dapur juga menjadi lokasi untuk menambat hati anak-anak, suami dan keluarga satu hari nanti!
Sumber : Majalah Seri Dewi & Keluarga
Comments
Post a Comment