MH370: Kerajaan Isytihar Penumpang & Krew Pesawat Terkorban
Foto : Utusan Online
KUALA LUMPUR 29 Jan. - Kerajaan hari ini mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan krew pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Beijing, 8 Mac lalu sebagai terkorban.
Dalam pengumuman oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang disiarkan RTM1 pada pukul 6 petang ini, pengisytiharan tersebut dibuat setelah pesawat itu dianggap terlibat nahas, menepati takrifan Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali Konvensyen Chicago.
Beliau berkata, sehubungan itu, selepas 327 hari (setakat semalam) dan dengan segala data yang diperoleh, adalah tidak mungkin untuk kesemua penumpang dan krew yang berada di dalam pesawat tersebut berpeluang untuk hidup.
Menurut beliau, ini berikutan data menunjukkan penerbangan MH370 berakhir di dasar laut kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi melibatkan kedalaman mencecah 6,000 meter yang jauh daripada kemungkinan untuk mendarat di mana-mana lokasi.
“Untuk itu, dengan perasaan berat hati dan kesedihan yang amat mendalam, bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan MH370 adalah suatu nahas selaras dengan Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago.
“Justeru, kesemua 239 penumpang dan krew dalam pesawat itu dianggap telah terkorban,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Teknikal Peringkat Tertinggi MH370 dalam pengumuman kira-kira 15 minit itu.
Menurut Azharuddin, buat masa ini tidak ada keterangan untuk pihak penyiasat mengaitkan sebarang spekulasi kepada punca nahas tersebut.
Katanya, ini berikutan siasatan pihak berkuasa berhadapan kekangan kekurangan bukti fizikal terutama perakam pesawat.
“Pasukan siasatan keselamatan MH370 melibatkan tujuh negara dan siasatan jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga masih berlangsung.
“Laporan interim berkaitan perkembangan siasatan keselamatan dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun atau kira-kira setahun selepas insiden nahas tersebut berlaku,” jelasnya.
Sumber : Utusan Online
Comments
Post a Comment