Anak Suka Memberontak?
Bak kata pepatah, ‘Sayang anak, tangan-tangankan’ di mana jika perlu, bertegaslah dengan mereka sejak kecil lagi supaya dewasa kelak mereka akan menghormati ibu bapa. Tidak hairan sekiranya terdapat anak yang bersikap kurang ajar kepada ibu bapa setelah mereka dewasa akibat daripada kemanjaan yang melampau sewaktu kecil. Bagi menangani masalah ini, beberapa tip boleh dilakukan oleh anda dan pasangan:
Perhatian dan penjagaan yang secukupnya
Lazimnya, kanak-kanak yang suka memprotes atau memberontak ini mempunyai agenda tersendiri yang tidak diketahui oleh ibu bapa. Mereka lebih suka menunjukkan sikap agresif dalam usaha untuk menyampaikan ketidakpuasaan hati terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, pembahagian kasih sayang perlulah sama rata agar anak-anak tidak merasa ketidakadilan yang berlaku. Dalam usia yang sedang giat berkembang, perhatian menjadi faktor utama kepada pembentukan peribadi si anak. Si anak mungkin akan merajuk atau tidak mendengar kata sekiranya mereka merasakan diri diabaikan tanpa kasih sayang yang secukupnya. Suami perlulah bekerjasama dengan isteri agar curahan kasih sayang tidak hanya tertumpu pada pihak ibu sahaja.
Bertegas dalam memberi arahan
Bertegas bukanlah bermaksud anda perlulah menjadi ibu bapa yang garang dalam mengawal pergerakan si anak. Dalam konteks ini, bertegas boleh difokuskan kepada konsisten dalam memberi arahan atau nasihat kepada anak supaya ia menggambarkan anda tidak akan berkompromi sekiranya mereka melakukan kesalahan. Sebelum memberikan hukuman adalah lebih wajar sekiranya dimulakan dengan nasihat terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk menerapkan nilai disiplin, bertanggungjawab dan menghormati ibu bapa mahupun orang yang lebih berusia dalam diri mereka. Elakkan hukuman seperti merotan kerana ia hanya menggalakkan lagi sikap memberontak dalam diri anak-anak.
Meluangkan masa bersama keluarga
Kesibukan kerjaya tidak seharusnya dijadikan alasan oleh segelintir ibu bapa untuk mengabaikan anak-anak di rumah lebih-lebih lagi anak yang suka memprotes. Pembahagian masa haruslah betul agar anda dan anak-anak dapat meluangkan masa yang berkualiti dengan melakukan aktiviti riadah. Pastikan cuti di hujung minggu diperuntukkan khas untuk keluarga tanpa sebarang komitmen kerja. Sekiranya anda mempunyai sumber kewangan yang lebih, bawalah keluarga anda bercuti agar jalinan kekeluargaan menjadi lebih akrab lagi.
Kekalkan keharmonian rumah tangga
Kesejahteraan rumah tangga juga boleh mempengaruhi tingkah laku si anak. Jika anda dan pasangan kerap kali bertengkar di hadapan mereka, dikhuatiri anak anda akan mudah untuk mengaplikasikan perkara yang dilihat ketika berkomunikasi bersama anda kelak. Lazimnya, kanak-kanak menjadikan ibu bapa sebagai contoh dalam setiap perlakuan yang mereka. Elakkan daripada bertengkar di hadapan mereka dan tunjukkan sikap dan perwatakan yang baik. Ini kerana, perwatakan anak adalah hasil daripada didikan yang anda dan pasangan berikan. Keretakan dalam rumah tangga sebaiknya dielakkan agar anak-anak tidak berasa tertekan apabila melihat perpisahan yang berlaku antara ibu bapa mereka.
Pengawasan dan perlindungan
Awasi cara pergaulan anak anda agar mereka tidak berkawan dengan rakan sebaya yang terlampau agresif dan nakal. Rakan sebaya juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam kelakuan anak-anak. Kebiasaannya, kanak-kanak mengikut gaya percakapan rakan mereka dan mudah untuk menyuarakan ketidakpuasaannya dengan menggunakan perkataan yang tidak elok. Dalam situasi ini, anda mungkin boleh meminta tolong daripada pengasuh atau cikgu supaya mengawasi mereka ketika berada di nurseri, taska atau sekolah. Pemautan sebegini amatlah penting supaya anda mengetahui perkembangan mereka tidak kira sama ada di dalam rumah atau di luar rumah.
Berikan pujian sebagai pembakar semangat
Jika anak anda melakukan sesuatu yang diarahkan dengan baik, berilah mereka pujian dalam usaha untuk menarik perhatian mereka. Ini kerana kanak-kanak amat gemar pujian terutamanya daripada ibu bapa. Tidak semestinya anda perlu memberi pujian tersebut dengan disertakan bersama hadiah semata-mata. Anda dan pasangan boleh memberikan ciuman atau pelukan mesra kepada mereka sebagai tanda kasih dan sayang anda apabila mereka mematuhi arahan. Cara sebegini lebih merapatkan lagi hubungan anda dan anak kerana belaian kasih sayang ibu bapa adalah hadiah yang tidak ternilai harganya buat si anak.
Sumber : Majalah Seri Dewi & Keluarga
Comments
Post a Comment